Wednesday, September 1, 2010

MOHD FITRI PENGERUSI AJK MUDA MASJID


MENGIMARAHKAN Masjid dan Surau terutamanya di bulan Ramadan adalah satu ibadah yang amat digalakkan, sebaiknya ia dapat melibatkan generasi muda agar mereka lebih awal diterapkan dengan anjakan solat berjamaah.

Sehubungan itu generasi muda di mana juga, wajar diberikan peluang untuk menubuhkan satu badan jawatankuasa yang menjadi nadi kepada mereka untuk membantu menentukan pelbagai kemudahan termasuk kebersihan di rumah suci ini dapat dijaga kebersihan persekitaranya.

Atas kesedaran ingin menentukan Generasi Muda mencintai Masjid dan Surau, maka Jawatankuasa Masjid Baitul Makmur, Kampung Kota Tuaran yang diterajui oleh Pengerusinya Haji Adis Enjih telah mempersetujui Mohamad Fitri Haji Ghulabdin sebagai Pengerusi Ahli Jawatankuasa Badan Generasi Muda Masjid berkenaan dalam mesyuarat pembentukannya yang telah diadakan pada pagi Ahad lepas.

Mesyuarat pembentukan badan itu juga telah memilih Mohamad Nazrin Haji Matsah sebagai Timbalan pengerusi dan Shafinaz Haji Ghulabdin diberikan tanggungjawab menjadi Setiausaha dengan dibantu oleh Penolong Setiausaha, Harfazlinda Haji Adis.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa lainnya terdiri daripaada, Azwari Ali Taugan sebagai Bendahari, Rodzie Adzhir Rahman menyandang jawatan Ketua Penerangan dan Ahli Jawatankuasa biasa ialah Ali Nor Bakti Amin, Ghulam Farouq Noordin, Mohamad Firdaus Hamran, Ghulam Fariz Noordin dan Darul Nazrin Haji Jamani.

Berucap selepas pemilihan itu Mohamad Fitri menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya yang bukan merupakan satu kebangaan tetapi tanggungjawab berat untuk dilaksanakan terutama untuk menanamkan minat kepada keseluruhan generasi muda di kampung tersebut untuk mengimarahkan Masjid pada setiap solat berjamaah.

"Meskipun saya terpilih sebagai pengerusi, tetapi peranan dan usaha untuk menjayakan aktibiti yang akan dilaksanakan bukan adalah merupakan tanggungjawab bersama. Saya mengharapkan generasi muda akan menyambut cabaran untuk bersama-sama menjayakan apa-apa juga kegiatan yang dianjurkan oleh Masjid ini pada masa hadapan," kata Mohamad Fitri lagi.

Beliau menyatakan beberapa program yang telah disusun sempena bulan Ramadan ini akan juga dilaksanakan seperti pembersihan sekitar Masjid dan Takbir beramai-ramai yang akan diadakan pada malam menjelangnya hariraya aidil fitri tidak lama lagi.

Mesyuarat pembentukan Ahli Jawatankuasa Badan Generasi Muda Masjid Baitul Makmur, Kampung Kota turut dihadiri dan dirasmikan oleh Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid kampung tersebut, Haji Adis Enjih.

Monday, August 30, 2010

BENARKAH LDP AKAN JADI PEMBANGKANG DI SABAH


PERGESERAN antara Timbalan Presiden Parti Liberal Demokeratik (LDP) Sabah,Datuk Chin Su Phin dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah,Datuk Seri Musa Aman tidak boleh disembunyikan lagi apabila kedua-dua pemimpin itu telah menyatakan perasaan tidak senang dan tidak sebulu diantara mereka.Apakah LDP menerusi Timbalannya Chin Su Phin berani mencadangkan agar LDP menjadi pembangkang di Sabah dan menyokong BN diperingkat Pusat?...

Layanan hambar Musa selaku Pengerusi BN Sabah kepada wakil LDP semasa mesyuarat BN negeri baru-baru ini,yang didakwa oleh Chin Su Phin memperlekehkan perjuangan mereka mengenai isu penting Patung MAZU di Kudat atas alasan Musa ianya bukan keutamaan untuk dibincangkan dan ini menurut pemimpin nombor 2 LDP itu menggambarkan sikap "tidak peduli" Musa terhadap sebarang isu rakan gabungannya semasa mempengerusikan mesyuarat BN,jesteru itu ia hanya mahukan pandangannya semata-mata mesti didengar,tetapi Musa tidak mahu mendengar apa yang pemimpin LDP hendak katakan.

Sementara itu,Musa mempertahankan dirinya dan berpandangan tindakan pemimpin LDP yang tidak rasional dengan membangkitkan isu yang dianggapnya telah diselesaikan menerusi Mahkamah tidak perlu lagi ditimbulkan dalam mesyuarat BN,Apa yang patut diketengahkan dalam mesyuarat penting yang jarang diadakan itu ialah soal politik yang mencakupi persiapan BN dalam memperkukuhkan parti masing-masing termasuklah membincangkan isu utama kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan Individu tertentu dalam LDP semata.

Pada 26 Julai lepas,Mahkamah Persukutuan di Puterajaya menolak permohonan bekas Ketua Menteri Sabah,Tan Sri Chong Kah Kiat yang juga bekas presiden LDP,untuk merayu terhadap keputusan kerajaan negeri menarik balik keputusan membenarkan Patung MAZU (Dewa Laut) setinggi 36 meter di Kudat.Jadi berdasarkan kepada isu yang dianggap selesai itu,LDP wajar mengunakan tempat bermesyuarat bersama komponen BN yang lain untuk menyuarakan pandangan bagaimana menjadikan Negeri Sabah tempat yang lebih selesa untuk rakyat pelbagai kaum.

Jika telah jelas secara terang yang kedua pemimpin ini mempunyai krisis mereka tersendiri,sehingga dengan lantang Chin Su Phin menyatakan dengan tegas untuk tidak menyokong Musa selaku Ketua BN Sabah dan juga Ketua Menteri,sudah pasti situasi tegang pimpinan BN ini akan menyebabkan kekuatan dan keutuhan BN di Negeri Bawah Bayu yang selama ini menjadi kebangaan pimpinan BN akan mencairkan "Fix Defosit" atau simpanan tetap politik BN pusat dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 tidak lama lagi,

Meskipun tegas dengan pendirian tidak menyokong Musa,namun LDP kata Chin Su Phin masih sanggup bekerjasama dengan Umno dan sekali gus menyatakan sokongan penuh terhadap Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno dalam merealisasikan Visi 1 Malaysia.

Selepas mesyuarat BN Negeri yang dianggap mengecewakan LDP baru-baru ini,Chin Su Phin dikatakan mengambil langkah drastik untuk mengadakan mesyuarat dengan kalangan Ahli-Ahli Majlis tertinggi LDP kecuali Presidennya Datuk V.K. Liew yang pada ketika itu dalam lawatan sambil bekerja ke Luar Negara.Apakah mesyuarat LDP itu membincangkan keinginan mereka untuk meminta pucuk pimpinan pusat agar mengantikan Musa dengan pemimpin lain yang sebulu dan boleh diterima oleh LDP serta pimpinannya?.

Api marah membakar LDP dalam perjuangannya selama ini bukan semata-mata akibat pergeseran tentang Patung Mazu,malah ia termasuklah pemecatan beberapa orang pemimpin tempatan penyokong LDP di Kudat yang dikatakan dilakukan oleh Pemimpin Umno kawasan itu,Haji Harun Bidin yang juga Ketua Daerah Kudat,dengan LDP beralasan Musa selaku Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan,Datuk Hajiji Haji Noor menghalalkan tindakan itu.

Chin Su Phin tidak yakin bahawa tindakan benar-benar diambil oleh pucuk pimpinan BN sabah terhadap Haji Harun meskipun dia didakwa oleh LDP memberi sokongan kepada pembangkang dan menentang BN dalam pilihanraya umum Mac 2008,jawaban Hajiji semasa mesyuarat itu menjelaskan yang beliau telah memanggil Haji Harun dan memberi amaran kepadanya supaya tidak merosakkan imej BN.Sebenarnya dalam hemat LDP tindakan yang lebih tegas harus diambil kepada Haji Harun dengan membuat siasatan lebih menyeluruh dan bukan sekadar membuat amaran yang akhirnya mengundang rasa tidak percaya pimpinan LDP terhadap kredebiliti Musa selaku ketua pentadbir negeri.

Memperkatakan Apakah isi kandungan memorendum yang akan dikemukakan kepada Pengerusi Barisan Nasional yang juga Perdana Menteri selepas mesyuarat tanpa dihadiri Presiden LDP V.K Liew?.Apakah LDP mahu pimpinan pusat BN agar mengambil tindakan untuk mengantikan Musa atas ketegasan mereka tidak boleh berkerjasama dengannya?,tetapi tidakkah LDP sedar Musa masih mendapat sokongan yang kuat daripada lain-lain komponen BN yang ada di Sabah seperti Parti Bersatu Sabah (PBS),Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS),UPKO,MCA,MIC dan Gerakan?.

Apapun penyokong BN mengharapkan pergeseran ini tidak akan berlarutan yang memperlihatkan LDP membawa haluannya sendiri.Penyokong BN nyata sudah cukup teruja dengan tindakan yang diambil oleh rakan komponennya Parti Maju Sabah (SAPP) yang sekarang berlagak sumbang diluar BN,seharusnya dalam mendepani kemelut ini pempinan BN Sabah sanggup menjadikan kekuatan dan kemantapan BN sebagai agenda yang utama,janganlah mengambil sikap mempertahankan diri sendiri seperti "Menang Sorak Kampung Tergadai"....

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA 2010


Saya HAJI GHULABDIN ENJIH,Timbalan Pengerusi KOSAN, Ahli Lembaga Pengarah (LPPB) Sabah dan juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tuaran dan Isteri SUZANNE BANGIH serta anak-anak SOHBIERAH, MOHAMAD FITRI, SHAZIELLA, SHAIERAH, SHAFINAZ, MOHAMAD FIKRY AIDID dan MOHAMAD FATHI ADIB, ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin kepada keseluruhan sanak saudara, pemimpin dan ahli-ahli serta penyokong UMNO keseluruhannya; termasuk teman-teman seperjuangan, Ahli-ahli Lembaga Pengarah, kakitangan, pekerja dan Ahli-ahli Koperasi Serbaguna SANYA Berhad KOSAN, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) dan keseluruhan kakitangannya.

Wednesday, August 18, 2010

INSPIRASI RAMADAN DI KAMPUNG KOTA



RAKAMAN rancangan Inspirasi Ramadan untuk siaran RTM TV1 yang dihoskan oleh Nurulhidayah Ahmad Zahid Hamidi telah memeriahkan majlis berbuka puasa anjuran Komuniti Bestari Kampung Kota Tuaran yang telah diadakan di kediaman Pengerusinya, Haji Ghulabdin Enjih di sini baru-baru ini.

Rancangan terbitan swasta untuk RTM itu yang telah dilakukan secara mendadak, akan memaparkan pelbagai gelagat, cara dan juadah berbuka puasa di sepanjang Bulan Ramadan; dirakamkan bagi memperlihatkan kemeriahannya di seluruh Malaysia termasuk Negeri Sarawak dan Sabah.

Rancangan Inspirasi Ramadan akan disiarkan pada setiap hari selasa bermula pada 23 Ogos ini jam 3.30 petang sebagai tontonan masyarakat Islam sementara menunggu masa berbuka puasa.

Haji Ghulabdin yang sempat ditemui di majlis itu, menyambut baik penerbitan rancangan Inspirasi Ramadan RTM TV1 yang akan dapat menjadi tontonan sepanjang ramadan di samping itu juga akan membolehkan pelbagai cara berbuka puasa masyarakat Islam ditonton oleh pelbagai kaum yang bukan Islam di negara ini.

"Saya berharap pada masa akan datang, rakaman seperti ini akan diteruskan oleh TV1 RTM atau mana-mana juga stesen TV swasta yang ingin menjadikan pelbagai adat dan budaya pelbagai kaum di negara ini; terutamanya Negeri Sabah, termasuklah Daerah Tuaran bagi mengisi rancangan TV. Kita dapat mempaparkan dengan lebih dekat cara hidup masyarakat kita, terutama yang berada di luar Bandar,” kata Haji Ghulabdin yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran.

Semasa rakaman Inspirasi Ramadan di Kampung Kota Turaran diadakan, para ahli Komuniti Bestari telah menunjukkan pelbagai pembuatan kuih muih tradisi seperti ‘Penjaram’ dan ‘Jemput-jemput Terap’ termasuk juga masakan tempatan ikan rebus ‘Ampap’, ikan masak kunyit dan sayur rebus keladi.

Majlis berbuka puasa di kediaman Haji Ghulabdin bertambah meriah kerana selepas rakaman itu, krew yang terlibat telah menyertai sembahyang berjamaah solat maghrib dan seterusnya menikmati juadah berbuka puasa.

Selain daripada anggota-angota krew rakaman Inspirasi Ramadan, Majlis berbuka puasa itu juga turut dihadiri oleh Pengarah, penerbit yang juga pelakon, Norsahar Ahmad; Pengerusi Surau Kampung Kota Tuaran, Haji Adis Enjih; Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tuaran, Marsah Muyong; Ahli Perniagaan, Awang Puasa Jambul; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Seri Bayu, Madsabi Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK; Kampung Kota Tuaran,Haji Jamani Bidin.

Sementara itu, Nurulhidayah yang juga merupakan seorang penyanyi lagu-lagu dakwah tanah air menyatakan perasaan gembiranya kerana dapat beramah mesra dan dapat mendekati tatacara masyarakat Kampung Kota, Tuaran semasa menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.

SYARIKAT SENSI BORNEO JEJAS KEHIDUPAN PENDUDUK DI KG SABANDAR TUARAN

BANJIR......Kelihatan kereta milik Haji Laugan yang sebahagian tayarnya ditenggelami air bertakung yang mula berbau busuk.

Oleh : HAJI GHULABDIN ENJIH

SEBUAH keluarga di Kampung Sabandar, Tuaran menjalani kehidupan yang tidak selesa apabila rumah kediaman serta keseluruhan sekitar halaman rumahnya ditakungi air sejak Jun lalu, akibat ketiadaan sistem perparitan; kesan daripada projek penimbusan tanah untuk projek pelancongan oleh Sensi Borneo, tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Daerah Tuaran.

"Penderitaan yang dihadapi oleh keluarga saya telahpun disampaikan kepada Pegawai Daerah Tuaran, Awang Shamsi Haji Jamih agar pemilik Sensi Borneo tidak melakukan penimbusan kawasannya tanpa menyediakan sistem perparitan terlebih dahulu,” kata ketua keluarga terbabit, Haji Laugan Terki Haji Noor sehingga menyebabkan air bertakung di seluruh kawasan rumahnya.

Selain itu, kata Haji Laugan, beliau mendapati pemaju ini telah menyalahgunakan kawasan tanah simpanan perkampungan Sabandar tanpa sebarang kebenaran bagi mendirikan bangunan untuk projek pelancongan berkenaan.

Sehubungan itu, Haji Laugan menyeru agar Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Tuaran mengadakan siasatan segera bagi menghentikan penderitaan yang mereka alami sejak berbulan lalu.

Haji Laugan yang juga bekas Ketua Daerah Tuaran mendesak Jawatankuasa Perlesenan Majlis Daerah Tuaran (MDT) membuat penyiasatan terhadap kedudukan syarikat bukan milik tempatan ini yang dikhuatiri tidak memiliki lesen perniagaan dan kemungkinan telah melanggar syarat serta peraturan perlesenan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Saya dengan ini memberikan notis satu minggu agar perkara ini di atasi segera. Jika keadaan ini berterusan, saya terpaksa mendapatkan perintah mahkamah dan menyaman semua pihak yang terbabit,” ujar Haji Laugan yang memberitahu mengalami kerugian setelah membuat laporan polis pada 28 julai lalu.

Menurut Laporan Polis tersebut, Haji Laugan membuat dakwaan berikut:

“Pada bulan mei 2010, bertempat di kampung Sabandar, Tuaran, Syarikat Sensi Borneo, Kampung Sabandar telah memajukan kawasan tanah simpanan perumahan bumiputera Kampung Sabandar Tuaran dengan mendirikan beberapa buah rumah, menimbus tanah merah dan sebagainya tanpa mendapat sebarang kelulusan daripada pihak-pihak tertentu.

Hasil daripada ini, kawasan rumah saya telah menjadi banjir dan air bertakung, lebih-lebih lagi musim hujan. Syarikat tersebut juga telah membuat penimbusan tanpa membuat perparitan. Akibat kejadian ini, telah mendatangkan penyakit disebabkan nyamuk mudah membiak. Keselamatan saya serta ahli keluarga juga turut terjejas dan kehidupan kami terganggu. Surat dari Penolong Pemungut Hasil Tanah Tuaran telah disampaikan kepada syarikat berkenaan untuk menghentikan kegiatan tersebut, tetapi tidak diendahkan. Saya buat laporan ini untuk tindakan jabatan berkenaan.”

Tegas Haji Laugan lagi, beliau tidak menolak pembangunan atau menentang sebarang projek pembangunan pelancongan di Kampung Sabandar; sebaliknya bertegas menentang penjenayah alam sekitar yang mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan nasib penduduk kampung yang terpaksa menanggung derita akibat kerakusan mereka.

Dalam pada itu, siasatan Sabahkini.net mendapati pemilik syarikat ini didapati telah mengabaikan serta tidak mengendahkan dua pucuk surat Pejabat Daerah Tuaran bertarikh 29 Jun tahun ini yang ditandatangani oleh Pegawai Daerah Tuaran, Awang Shamsi sendiri dan surat bertarikh 11 Ogos yang ditandatangani oleh Penolong Pemungut Hasil Daerah Tuaran, Clestinus Lawanding.

Isu ini juga telah dimaklumkan kepada Menteri kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sulaman, Datuk Haji Hajiji Haji Noor untuk membatalkan pembangunan tersebut, namun belum mendapat sebarang reaksi positif kerana kerja pembangunan masih diteruskan.

GHULABDIN DIPILIH SEMULA SEBAGAI TIMBALAN PENGERUSI KOSAN


KOTA KINABALU: - Ahli Lembaga Pengarah (ALK) Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) dalam mesyuaratnya pada pagi kelmarin (4 Ogos.2010) yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah,Datuk Peter Pang En Yen yang juga Menteri Belia dan Sukan,memilih semula Haji Ghulabdin Enjih sebagai Timbalan Pengerusi.

Sementara itu Golubi Guntarik telah terpilih sebagai Setiausaha dan Datuk Haji Arshad Haji Idris dipilih sebagai Bendahari yang baru bagi tahun 2010 hingga 2011 dalam mesyuarat pertama ALKnya bagi sesi penggal ini yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Kementerian Belia dan Sukan negeri di sini.

Terdahulu dalam ucapan ringkasnya sebagai Pengerusi Kosan,Peter Pang mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Lembaga Pengarah yang telah terpilih semula dalam mesyuarat Agong tahunan Kosan pada bulan lepas dan mengharapkan agar kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli koperasi itu kepada mereka dapat dilaksanakan dengan lebih efisyen lagi terutama kearah memantapkan kemajuan Kosan pada masa hadapan.

"Saya berharap kejayaan Kosan yang telah menerima kepercayaan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pembekalan pakaian seragam sekolah percuma kepada sekolah rendah dan sekolah ugama Is;lam dalam tempoh yang telah ditentukan akan dapat memberi peluang menjana keuntungan disamping menjadikan koperasi ini lebih berdaya saing"

"Pencapaian kosan perlu ditingkatkan dengan keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah memfokuskan kepada perniagaan yang sedia ada,saya percaya dengan gandingan mantap Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan Kosan sendiri akan memberikan lebih banyak peluang untuk menjana lebih banyak kontrak dari kerajaan.serta boleh mencari rakan usahasama yang menguntungkan dari pelbagai agensi"kata Peter Pang.

Beliau mengharapkan Kosan akan dapat merealisasikan peluang lebih banyak pekerjaan kepada para belia menjelang tahun hadapan khususnya kepada mereka yang berada di sekitar negeri ini dan akan dapat membuka tambahan kilang sepertmana yang telah dirancangkan sejak tahun lalu.

Kosan yang telah memulakan operasinya sejak sekian lama adalah merupakan sebuah koperasi yang tertua di negeri ini,dengan mempunyai dua buah kilang sebuah kilang menjahit pakaian di Tuaran dan sebuah kilang membuat kasut di Papar dan telah berupaya menyediakan pekerjaaan kepada hampir 300 penduduk di negeri ini.

Kedudukan penuh Ahli Lembaga Pengarah Kosan bagi penggal 2010 hingga 2011 terdiri dari Menteri Belia dan Sukan Sabah,Datuk Peter Pang En Yen (Pengerusi),Haji Ghulabdin Enjih (Timbalan Pengerusi),Golubi Guntarik (Setiausaha),Datuk Haji Arshad Haji Idris (Bendahari),Datuk Baisul Khan Salman Farish,Haji Abdul Razak Awang Duraman,Ariffin Datuk Fadzil Wong,Chong Ket Vui,Marsilius Tiwol,Hassan Mansoor,Gabriel Lohuban dan Sylvester Golou Asai.

JONGKANG JONGKET KEHIDUPAN

mengharungi kehidupan ini
persis permainan jongkang jongket
yang sesekali berada di bawah
berulitkan nanar lumpur kesusahan
menyulam setiap halaman dengan kepayahan
mendakap degup jantung kesabaran
menepuk dada dengan keimanan.

sesekali berada di atas
terasa dunia begitu indah
segenap ruang lapang mengasyikkan
tidak terasa gementar,malah mata meliar
melihat kehindahan horizon mempersona
melupakan seketika seiapa yang mencipta segalanya.

Jongkang jongkeng kehidupan
sesekali dibawah,menyedarkan alpa
jongkang jongkeng
ini kehidupan sesekali di atas
tentu tidak bertahan selamanya
kerana permainan ini sementara
yang hakiki tetap kembali kepadaNya.

KARYA: PENA KOTA,

WAKTU YANG TERPILU

Telah tertinggal masa lalu
Derap perjuangan bagai dedalu
Tersentuh lesu dengan jalan berdebu
Pada waktu termanggu menunggu lesu
Paduka memperkasa warganya

Waktu lalu yang terpilu
Anak paduka masih berduka keluh
Sukar lalui jalanan sama diharungi
Ke kiri terpacak tajam sembilu
Ke kanan laluan masih berliku
Perjuangan kental terbelenggu
Tidak mudah alunan didengar merdu
Melainkan semangat jitu yang bersatu

Kini waktu yang terpilu
Mengapa lagi terus terbelenggu..?
Mengharap kabus terus berlalu
Namun sang rakus menerjah maruah
Meludah sendiri, kata berdusta
Perjuangan lama akan menjadi apa?

Karya;PENA KOTA

MENUJU JALAN PULANG

menuju jalan pulang
persiapan merentasi onak belentara
pastinya memerlukan secukup bekalan
yang semestinya bukan saja amalan
malah mencakupi kesedaran dan pengetahuan
untuk memudahkan laluan menemui kembali
pangkal jalan yang telah ditinggalkan.

menuju jalan pulang
semakin terasa jauh dan sukar
malah gementar menerpa menerjuni lurah jiwa
sedang sekian lama ingatan menjadi alpa
tidak pernah mengulit rasaMU, ya rabbi
tidak ada memohon rimbunan kasihMU,ya rahim.

menuju jalan pulang
sebak meninggalkan halaman sendiri
rindu merninggalkan rakan dikasihi
namun saujana indah terbentang
bukan penghalang yang merintang
kembali ke tempat asal hakiki
pasti menjadi tuntutan yang paksi.

Karya: PENA KOTA,

MENGENANG MASA BERLALU

mengenang masa berlalu,cepatnya tidak tergapai hati
bagai air terjun mengalir deras menerjah
merentasi lurah bukit pesona leka
lalu menghanyutkan seribu cerita nesta
yang terapung di tasik gundah gulana
dan terdampar di muara hayal penuh fantasi loka.

Mengenang masa berlalu,cepatnya tidak mudah dingati
seraya mengejar waktu yang tidak boleh berganti
sedang melewatinya tanpa menghitung peri
dengan ingatan diri sudah dihujung masa
sesal dahulu pendapatan yang kemudian tidak berguna
sambil membilang sisa lapang dihari muka
kealpaan silam menghadapkan diri dalam sedar
akan tersemaikah bibit takwa diakhir masa?.

Karya: PENA KOTA,